Friday 5 December 2014

Tugasan 3- Rekabentuk dan Pembinaan Pentaksiran Autentik

TUGASAN KUMPULAN
KURSUS PENTAKSIRAN AUTENTIK
KPN 6074




REKA BENTUK DAN PEMBINAAN PENTAKSIRAN AUTENTIK



DISEDIAKAN OLEH :

SOLEHAN BIN NAZAN M20132001760
SOLEHUDDIN BIN ISMAIL M20132001764
FARIZAN BINTI CHE MUSA M20132001966
RUSTAM BIN SIIS  M20132002315


PENSYARAH :

PROF. EMIRITUS DR OTHMAN BIN LEBAR


IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN KHAS
SEMESTER 2 2013/2014




PENDAHULUAN


Pada masa kini, majoriti masyarakat, guru dan pelajar apabila ditanya tentang bagaimana hendak mengukur tahap pencapaian, jawapannya adalah melalui peperiksaan. Ini adalah disebabkan oleh pendedahan kita hanya tertumpu kepada peperiksaan semata-mata sebagai kayu pengukur tahap pencapaian seseorang pelajar. Malah masyarakat kita, kerana sudah terbiasa dengan peperiksaan, mula membandingkan seorang pelajar dengan pelajar dengan kaedah berapa banyak A yang dapat diperoleh selepas satu peperiksaan. Semakin banyak bilangan A yang diperoleh oleh seorang pelajar tersebut dianggapkan bahawa pelajar itu mempunyai ilmu dan kemahiran yang lebih berbanding dengan pelajar lain yang mendapat bilangan A yang sedikit.

Situasi ini juga dapat dijelaskan dengan apa yang berlaku kini dalam sistem pendidikan adalah peningkatan dan keberkesanan sesebuah sekolah itu dinilai berdasarkan pentaksiran piawai di mana sekolah yang lemah dan sekolah yang cemerlang dilihat dan ditentukan dari keputusan peperiksaan piawai. Akibat dari keadaan ini, banyak pihak yang merasa tertekan kerana ingin memastikan mereka mendapat keputusan peperiksaan tersebut yang terbaik tanpa memikirkan keperluan berkaitan kemahiran dan nilai yang perlu ada pada seseorang pelajar dalam menghadapi cabaran abad yang akan datang. Implikasinya, kita melihat ibu bapa kini terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Anak yang gagal mendapat A dalam mata pelajaran tertentu dikatakan gagal dalam pembelajarannya. Sekolah yang prestasinya dalam sesuatu peperiksaan merosot berbanding prestasi tahun sebelumnya, walaupun hanya 0.1%, merasa tertekan kerana prestasi guru dan pentadbir sekolah dianggap merosot. Guru-guru juga akan hanya mengajar apa yang bakal masuk peperiksaan tetapi bukan kandungan kurikulum sepenuhnya. Bagi subjek-subjek yang tidak termasuk dalam peperiksaan piawai juga akan diabaikan, seterusnya menyebabkan berlakunya penguncupan kurikulum. Ini jelas membuktikan bahawa peperiksaan piawai tidak sesuai untuk menunjukkan prestasi keseluruhan seseorang pelajar dan sesebuah sekolah itu kerana tidak dapat menilai segala aspek secara holistik.
Seterusnya adalah berkaitan kemampuan guru untuk menjalankan suatu pentaksiran yang berkesan. Guru yang kurang pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep pentaksiran akan menyukarkan mereka untuk merancang strategi bagi menjalankan proses pentaksiran. Selain itu, isu guru yang terlibat dalam pentaksiran mengajar tidak mengikut opsyen sebenar dan guru tidak terlatih merupakan isu yang sering di persoalkan kerana kompetensi guru sebagai pembimbing dan pemudah cara dalam melaksanakan pentaksiran di dalam bilik darjah yang kurang profesional. Hal ini kerana mereka kurang mahir dalam subjek yang bukan opsyen dan keadaan ini akan menghasilkan pentaksiran yang tidak berkualiti. Kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan telah meningkatkan beban kerja mereka. Guru bukan sahaja perlu mengajar tetapi juga melakukan kerja-kerja pentadbiran dan kokurikulum. Guru juga perlu menaksir dan mengajar dalam masa yang sama. Perkara yang sama bahawa pentaksiran alternatif menambah beban tugas guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai satu produk dan bukan sebagai satu proses.

Semua lapisan masyarakat memerlukan anjakan paradigma apabila berhadapan dengan isu ini. Tidak dinafikan peperiksaan itu penting. Tetapi ia bukanlah matlamat akhir. Ia juga bukan penentu mutlak kepada pencapaian pelajar. Sebenarnya, peperiksaan hanyalah satu ranting sahaja di dalam kaedah pentaksiran. Ini terbukti dengan beberapa laporan akhbar yang berkaitan dengan isu peperiksaan. Antaranya ialah Sistem Ujian Tidak Praktikal (Berita Harian, 7 Mac 2006), Sistem Peperiksaan Faktor Pelajar Tercicir (Utusan Malaysia, 14 March 2006) dan Pelajar Kreatif, Berkemahiran Tetapi Kurang Markah “A” Tidak Dapat Perhatian (Berita Harian, 14 April 2006). Ekoran daripada situasi ini maka timbullah cadangan memansuhkan UPSR dan PMR pada 2010. Ini perlu dipertimbangkan, seterusnya mencari satu pentaksiran alternatif yang dapat menilai seseorang pelajar secara holistik dari segi semua aspek iaitu kognitif, afektif dan psikososial.

Pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan.  Pentaksiran dalam pendidikan di Malaysia ialah proses mendapatkan maklumat tentang perkembangan individu serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam pembangunan dan pembentukan modal insan. Pentaksiran terbahagi kepada beberapa jenis antaranya ialah pentaksiran autentik, pentaksiran ”performance based”, pentaksiran dan hasil pembelajaran, pentaksiran berbantukan komputer dan pentaksiran  motivasi.

Saptu & Said ( 2011 ) menjelaskan definisi pentaksiran autentik adalah ianya merujuk kepada alternatif ke arah kepelbagaian ujian pencapaian yang standard. Menurut Logsdon ( 2011 ), pentaksiran autentik mempunyai bentuk pentaksiran yang berbeza di mana dapat menampung ketidakupayaan pelajar. Satu pentaksiran yang silih berganti boleh mengurangkan kesan ketidakupayaan pelajar kepada keupayaan untuk menunjukkan apa yang pelajar fahami. Pentaksiran autentik juga merupakan penggunaan pendekatan bukan tradisional dalam menilai prestasi pelajar ( Aurbach& Associates, 2011 ).

            Pentaksiran autentik secara umumnya ditakrifkan sebagai kaedah penilaian yang merupakan alternatif selain pentaksiran tradisional seperti ujian pensel-kertas. Pentaksiran autentik menghendaki pelajar untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan yang mana tidak dapat dinilai dengan menggunakan ujian yang ditetapkan masa seperti pentaksiran sumatif. Ia bertujuan untuk mendedahkan kemahiran pemikiran kritikal dan mentafsir pelajar dengan meminta pelajar untuk menyelesaikan tugasan terbuka yang mengambil tempoh lebih daripada satu kelas untuk melengkapkan nya ( Companies, 2011 ).

            Justeru itu, pentaksiran autentik adalah pentaksiran di mana pelajar menghasilkan atau mencipta jawapan sendiri terhadap sesuatu persoalan, boleh berbentuk esei atau lukisan, yang bertentangan dengan kaedah memilih daripada jawapan yang telah diberikan, seperti yang lazimnya dilihat pada ujian aneka pilihan. Pentaksiran autentik termasuk menjawab soalan pendek, esei, penilaian prestasi, persembahan lisan, pameran, dan juga portfolio. Pentaksiran autentik ini menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri secara kreatif melalui pilihan pelajar sendiri. Pentaksiran autentik merupakan aktiviti pentaksiran yang dijalankan tidak seperti pentaksiran yang menekankan konsep pensel-kertas untuk menguji dan mengukur. Maka, pentaksiran autentik boleh dirujuk sebagai pentaksiran formatif atau pentaksiran untuk pembelajaran.




HASIL PEMBELAJARAN


Pada akhir pembelajaran dan pengajaran, murid dapat:

1.      Menyenarai contoh makanan yang berkhasiat dan contoh  makanan tidak berkhasiat
2.      Membezakan makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat
3.      Menerangkan dengan jelas kepentingan makan makanan berkhasiat dan kesan makan makanan tidak berkhasiat
4.      Menghasilkan folio secara berkumpulan berkenaan makanan berkhasiat dan makanan tidak berkhasiat





STRATEGI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN





Tajuk                                      :  Pemakanan
Masa                                        :  60 minit
Tahun                                      :  4 Maju
Standard Kandungan              : 7.1     Mengetahui jenis makanan harian
Standard Pembelajaran         : 7.1.1    Menyatakan jenis makanan yang berkhasiat
                                                 7.1.2   Menyatakan jenis makanan yang tidak berkhasiat
                                     7.1.3   Menyatakan kebaikan makan makanan yang berkhasiat
                                     7.1.4   Menyatakan keburukan makan makanan yang tidak berkhasiat        
Objektif                                   : Pada akhir pembelajaran dan pengajaran, murid dapat:
1.      Menyenarai makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat
2.      Membezakan makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat
3.      Menerangkan dengan jelas kepentingan makan makanan berkhasiat dan makan makanan tidak berkhasiat

Elemen Merentas                    : Nilai Murni - Keyakinan diri, toleransi, kerjasama
Kurikulum (EMK)                  : Keusahawanan – Berani menanggung   
                                                 risiko,komunikasi,berdaya saing,berkerjasama.
                                                  TMK – belajar melalui TMK
                                                  Kreativiti dan inovasi

Bahan Bantu Belajar   : Komputer, gambar piramid makanan , model maujud makanan
                                                 

Langkah
Aktiviti
BBB
Catatan

Set  Induksi
( 7 Minit)


  1. Guru menayangkan sebuah video lagu makanan seimbang :
-          Murid-murid menyanyi lagu makanan seimbang mengikut video yang ditayangkan




Video lagu



EMK
Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Murid mendengar arahan guru

Bekerjasama


Langkah 1
( 10 Minit )

  1. Guru membahagikan murid kepada kumpulan kecil
  2. Guru menayangkan video klip berkenaan pemakanan seimbang
  3. Setiap kumpulan diminta untuk menyenarai jenis-jenis makanan yang ditayangkan dalam video





Komputer / video klip

Priramid makanan

Model maujud makanan


Murid menyebut jenis-jenis makanan yang dilihat dalam video klip

Bekerjasama

Semua murid melakukan aktiviti


Langkah 2
( 15 Minit )

1.      Setiap kumpulan diminta membentangkan contoh jenis-jenis makanan yang telah disenaraikan
2.      Setiap kumpulan diminta untuk mengkelaskan jenis makanan yang disenaraikan mengikut jenis kumpulan makanan :-
-          Makanan berkhasiat
-          Makanan tidak berkhasiat
3.      Setiap kumpulan membentangkan hasil tugasan yang dipinta oleh guru
4.      Guru menerangkan pengkelasan makanan mengikut makanan yang berkhasiat dan makanan tidak berkhasiat


Komputer


Murid mendengar arahan guru

Bekerjasama

Semua murid melakukan aktiviti



Langkah 3
( 20 Minit )


  1. Guru meminta setiap kumpulan menghasilkan folio bertajuk “makanan yang berkhasiat dan makanan yang tidak berkhasiat’
  2. Murid diminta untuk mendapatkan maklumat berkenaan jenis-jenis makanan yang berkhasiat dan makanan yang tidak berkhasiat melalui laman sesawang :
  3. Dalam penghasilan folio setiap kumpulan diminta untuk :
3.1        Mendapatkan gambar-gambar contoh makanan
3.2        Membuat pilihan antara makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat
3.3        Menyatakan perkaitan makanan seharian dengan pemilihan makanan
3.4        Menerangkan kepentingan mengambil makanan berkhasiat dan kesan mengambil makanan tidak berkhasiat
         

Komputer ( laman sesawang berkenaan )



EMK
Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Toleransi

Bekerjasama

Keyakinan diri


Penutup
( 8 Minit )

  1. Guru bersoal jawab tentang pembelajaran hari ini
  2. Guru dan murid menyanyikan semula lagu makanan seimbang.
3.      Guru meminta setiap kumpulan menyiapkan tugasan folio selama 2 minggu dari tarikh pembelajaran hari ini.

  
Video lagu


EMK
Kretiviti dan inovasi


 








STRATEGI PENTAKSIRAN


Pentaksiran dalam proses pembelajaran dan pengajaran merupakan aspek penting yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran di samping dapat mencungkil potensi dan bakat pelajar (Ali, 2008). Proses pembelajaran dan pengajaran tidak lengkap jika pentaksiran tidak diambil kira. Terdapat tiga komponen utama yang terkandung dalam setiap pelajaran. Komponen pertama ialah objektif di mana kenyataan berkaitan dengan apa yang ingin dicapai oleh guru dan pelajar. Setelah mengetahui apa yang patut dicapai, rancangan pengajaran akan disediakan untuk mewujudkan pengalaman yang sesuai bagi membantu pelajar capai objektif berkenaan bergantung kepada kebolehan, kemahiran dan bakat serta minat pelajar yang pelbagai. Merancang dan menyediakan keadaan yang menimbulkan pengalaman yang sesuai merupakan komponen kedua dalam proses pengajaran dan pembelajaran.(Wahid & Jahya, 2009) dalam bukunya yang bertajuk Pendidikan Pembangunan Modal Insan menyatakan bahawa timbunan pengalaman terjadi sama ada dialami sendiri, melalui pembacaan, dari suka dan duka sebuah pengembaraan, dari sesuatu sesi perbincangan, dari pelbagai pertemuan intelektual dan yang seumpamanya.

Kesemua kaedah penimbunan pengalaman ini merupakan rutin harian setiap pelajar, aktiviti seperti itu bertapak semenjak di peringkat prasekolah lagi sehingga ke peringkat tertinggi cuma yang berbeza adalah darjah pemberatan dan tahap keseriusannya. Komponen ketiga ialah menilai pengetahuan, kemahiran, sikap dan tingkah laku pelajar berkait dengan objektif pelajaran. Objektif pengajaran mestilah membolehkan pelajar memperoleh ilmu dan kemahiran serta mampu mempamerkan perubahan tingkah laku seperti yang dikehendaki oleh guru. Pentaksiran sangat penting dalam proses pengajaran. Guru perlu membuat pelbagai pertimbangan semasa pengajaran sesuatu topik berdasarkan persoalan yang timbul sebelum, semasa, atau selepas pengajaran. (Ghafar, 2011) menunjukkan aliran pentaksiran dalam pengajaran.

Bermula dengan objektif pengajaran, diikuti dengan proses pengajaran yang sesuai sehingga penilaian hasil. Terdapat beberapa jenis pentaksiran yang terlibat di dalam proses pengajaran ini. Dahulunya, pentaksiran dianggap hanyalah penentu pencapaian pelajar pada akhir satu sesi pembelajaran.  Tetapi kini pentaksiran merangkumi aktiviti mendapat informasi dan membuat perbandingan semasa pembelajaran dan pengajaran itu berlangsung. Sistem pentaksiran kini memberi penekanan kepada pentaksiran berterusan yang bertujuan membantu pembelajaran pelajar. Di samping menjalankan pentaksiran berterusan, informasi itu perlu direkodkan oleh guru bagi melihat kemajuan pelajar dan pelajar yang masih belum menguasai topik atau satu unit akan diberikan pengajaran pemulihan. Dengan cara ini, pentaksiran dapat digunakan dengan lebih efektif. Pentaksiran untuk pembelajaran adalah bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran. Ia adalah proses mencari dan mentafsir bukti untuk digunakan oleh guru dan pelajar untuk membuat keputusan dalam pembelajaran pelajar (Dikli, 2003). Pada masa yang sama, pentaksiran juga boleh bertindak sebagai alat pengukur untuk menunjukkan kecekapan dan keberkesanan guru. Di peringkat bilik darjah, pentaksiran boleh dijadikan sebagai alat mengajar yang baik dan keputusan pelajar boleh memaklumkan keputusan pengajaran.

Pentaksiran sekolah adalah salah satu komponen utama dalam pembelajaran dan pengajaran kerana ia berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam pembelajaran dan pengajaran. Pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula dengan perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan hingga pelaporan. Pentaksiran penting untuk menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang. Pentaksiran merupakan aktiviti berterusan yang menuntut komitmen yang tinggi, dan hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak sekolah untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum. Pentaksiran perlu mempunyai ciri-ciri berikut :-

·         Holistik iaitu mampu memberi maklumat menyeluruh tentang penguasaan, pengetahuan, kemahiran, dan pengamalan nilai murni
·         Berterusan iaitu aktiviti pentaksiran berjalan seiring dengan pembelajaran dan pengajaran
·         Fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid; dan
·         Merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum


Pentaksiran boleh dilaksanakan secara :

·         Pentaksiran formatif yang dijalankan seiring dengan pembelajaran dan pengajaran
·         Pentaksiran sumatif yang dijalankan pada akhir unit pembelajaran, semester atau tahun

Setiap guru perlu melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Kebijaksanaan guru adalah perlu dalam merancang dan melaksanakan pembelajaran dan pengajaran secara berkesan dan bersesuaian. Pada waktu yang sama, guru perlu mentaksir dan menentukan tahap keupayaan murid berdasarkan prestasi yang telah disusun. Guru seharusnya memberi peluang kepada setiap murid untuk mencapai tahap keupayaan yang lebih baik dengan melaksanakan proses bimbingan dan pengukuhan.

            Pembelajaran merangkumi perkara yang perlu dipelajari dan disampaikan sewaktu pembelajaran dan pengajaran. Standard prestasi pula mengandungi panduan untuk mentaksir murid mengikut tahap penguasaan seperti yang dihasratkan. Beberapa kaedah pentaksiran dalam bilik darjah yang boleh dijalankan adalah :

·         Pemerhatian :  Kaedah ini sesuai untuk menilai individu dari aspek kemahiran saintifik serta sikap saintifik dan nilai murni. Kaedah pemerhatian adalah untuk menilai proses yang dilakukan murid, bukan hasil akhir yang diperoleh
·         Ujian : Ujian boleh dijalankan dalam bentuk kertas pensel atau lisan. Ujian kertas pensel boleh disediakan dalam bentuk soalan objektif atau subjektif. Contoh ujian lisan atau kuiz
·         Persembahan secara lisan : Persembahan secara lisan adalah penting untuk menilai kemahiran bertutur, keyakinan diri dan pengetahuan murid tentang kemahiran yang dipelajari
·         Senarai semak : Senarai semak merupakan laporan individu tentang penguasaan elemen-elemen yang diuji dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Elemen yang diuji dalam sains adalah pengetahuan, kemahiran serta sikap saintifik dan nilai murni
·         Portfolio : Portfolio adalah kompilasi hasil kerja murid secara individu atau kumpulan. Contoh portfolio adalah buku skrap dan folio
·         Esei : Esei mempamerkan tentang kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat secara saintifik dan sistematik.

Dalam tugasan ini kaedah pentaksiran yang digunakan adalah pentaksiran portfolio. Pentaksiran portfolio merupakan suatu cara pentaksiran yang amat popular digunakan di kalangan guru.  Pentaksiran jenis ini dijalankan secara berterusan.  Kelebihan cara pentaksiran ini ialah sampel-sampel kerja yang disimpan dalam portfolio boleh menunjukkan kemajuan yang dicapai oleh murid dengan ketara. Sampel-sampel kerja tersebut boleh digunakan sebagai bukti pencapaiannya. Untuk memastikan supaya portfolio tidak menjadi tempat simpanan bagi semua hasil kerja murid, pembinaan portfolio mesti dirancang dengan teliti oleh guru.


 Penilaian portfolio dibuat berdasarkan kepada koleksi pelajar sepanjang tahun. Ia merupakan salah satu cara yang terbaik untuk menunjukkan pencapaian akhir dan cara menunjukkan apa yang pelajar benar-benar boleh lakukan. Portfolio bilik darjah menunjukkan pencapaian seorang pelajar iaitu dari segi kerja bertulis, kerja seni, projek sains, pemikiran sejarah, atau matematik. Kerja pelajar disusun mengikut kerja-kerja dalam proses seperti draf awal, peringkat percubaan, kajian rintis, atau laluan awal. Ini adalah cara yang ideal untuk menilai penguasaan akhir, usaha; refleksi dan pertumbuhan dalam pembelajaran yang memberitahu pencapaian pelajar. Idea penilaian portfolio bilik darjah telah mendapat sokongan. Banyak sekolah menggunakan portfolio dan lain-lain jenis pameran untuk membantu memotivasikan usaha dan pencapaian persembahan dan perkembangan pelajar dalam pembelajaran. Walaupun kebolehpercayaan dan kesahihan penghakiman seseorang guru bilik darjah tidak selalunya tepat atau relevan, tetapi guru berpeluang untuk berinteraksi dengan pelajar dan memerhatikan kerja mereka serta mengesahkan penghakiman mengenai keupayaan mereka.

Kaedah dan teknik menghasilkan portfolio memerlukan sokongan, model dan refleksi. Melalui  pentaksiran portfolio yang dilakukan murid  diminta mengumpul dan menyediakan  bahan-bahan yang dikumpul daripada surat khabar, majalah, buku dan gambar-gambar yang bersesuaian dengan  lima gambar  bencana alam yang kehendaki. Apa yang paling ditekankan ialah penggunaan sumber teknologi maklumat komunikasi. Murid didedahkan dengan penggunaan komputer, internet, enjin carian, proses mencetak, menyimpan maklumat dan juga mengumpul gambar atau artikel selari dengan mata pelajaran Teknologi Maklumat Komunikasi yang diperkenalkan dalam sukatan KSSR Tahun 4 Pendidikan Khas. Apabila semua bahan dan maklumat diperoleh, murid akan mencetak, menggunting dan menampal gambar  bencana alam di dalam buku portfolio yang disediakan. Dengan melakukan aktiviti mencari gambar tersebut secara langsung, murid akan mudah mengingat dan memahami kandungan pelajaran berbanding hanya dengan proses membaca atau penerangan oleh guru semata-mata. 



           
           

REKA BENTUK PENTAKSIRAN


Pentaksiran autentik atau pentaksiran untuk pembelajaran adalah proses pembelajaran secara berterusan. Pentaksiran autentik ini dijalankan untuk memastikan setiap pelajar memahami dan dapat menterjemah kehendak tugasan. Guru juga dapat menentukan apa yang boleh dibantu dalam meningkatkan prestasi pelajar. Pentaksiran yang bersifat autentik adalah pentaksiran kerja kursus/ portfolio, projek, persembahan, aktiviti jasmani, kokurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri pelajar dapat dilaksanakan, malahan proses pembinaan modal insan yang holistik dapat juga diteruskan sejajar dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ( Khan, 2009 )

Gambaran yang lebih baik terhadap  pembelajaran dan pengajaran dapat diberikan dengan menggunakan pelbagai pentaksiran dalam bilik darjah.

Ø  Pentaksiran prestasi – Pelajar dikehendaki untuk mencipta sesuatu produk atau merumuskan tindak balas yang menunjukkan penguasaan dalam kemahiran atau kefahaman tentang proses atau konsep. Lazimnya, pentaksiran prestasi autentik kerana distrukturkan berdasarkan sesuatu masalah atau situasi sebenar.
Ø  Pemerhatian guru – Guru memerhatikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam pelbagai tugas atau aktiviti dengan menggunakan senarai semak, skala kedudukan, dan sebagainya untuk merekodkan prestasi pelajar dalam mencapai satu penanda aras yang tertentu.
Ø  Persidangan – Guru dan dialog pelajar, menilai kemajuan pelajar untuk mencapai satu atau lebih matlamat yang tertentu.
Ø  Pentaksiran sendiri – Pelajar memikirkan dan menilai kerja mereka sendiri dengan kriteria taksiran yang dibangunkan oleh guru atau pelajar
Ø  Pentaksiran rakan sebaya- Pelajar menilai kerja antara satu sama lain dengan kriteria penilaian yang dibangunkan oleh guru atau pelajar-pelajar.
Ø  Pentaksiran kerja kursus / portfolio – Kerja pelajar direkodkan dalam koleksi bahan-bahan yang dipersetujui oleh pelajar atau guru, menjangkaui tempoh masa, yang menggambarkan proses pembelajaran pelajar, perkembangan, dan pencapaian dalam cara yang teratur dan sistematik.

Standard Prestasi digunakan untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran, serta prestasi seseorang murid. Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan.

 Pentaksiran sedemikian tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain. Prestasi murid dilaporkan dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran. Murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan pihak lain. Maklumat yang diperoleh membolehkan pihak yang bertanggungjawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut kebolehan masing-masing. tahap penguasaan merujuk kepada aras penguasaan tertentu yang disusun secara hierarki, dan diguna bagi tujuan pelaporan.

Reka bentuk pentaksiran dalam perbincangan ini dirancang untuk agar murid dapat dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan pihak lain. Maklumat yang diperoleh membolehkan pihak yang bertanggungjawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut kebolehan masing-masing. Pentaksiran ini dapat mengukur tahap kefahaman dan keupayaan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam menghasilkan sesuatu yang baharu dan kreatif. Terdapat tiga matlamat yang dikenal pasti dalam reka bentuk pentaksiran iaitu:

        i.            Pentaksiran sebagai pembelajaran ( assessment as learning )
      ii.            Pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning)
    iii.            Pentaksiran kepada pembelajaran (assessment of learning)


Untuk pentaksiran pembelajaran dan pengajaran yang dibincangkan, pentaksiran adalah menekankan kepada pentaksiran untuk pembelajaran ( assessment for learning ). Ia bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan maklumat bagi tujuan modifikasi dan memperkayakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Ia dapat membantu guru untuk mengenal pasti corak dan kaedah pembelajaran yang diamalkan oleh murid dalam pembelajaran. Reka bentuk perlu diteliti dengan baik, supaya hasil tugasan yang diberikan dapat mengukur pengetahuan, kemahiran dan kecekapan murid dalam mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam pembelajaran mereka. Untuk itu, antara proses atau langkah –langkah pentaksiran yang perlu dilakukan oleh murid dalam menghasilkan folio adalah :

                    i.            Mengumpul bahan sama ada gambar makanan dari keratan akhbar, majalah, lukisan ataupun internet
                  ii.            Mengklasifikasikan gambar makanan tersebut kepada
Ø  Makanan berkhasiat
Ø  Makanan tidak berkhasiat
                iii.            Menyatakan perkaitan makanan seharian dengan pemilihan makanan
                iv.            Menerangkan kepentingan mengambil makanan berkhasiat dan kesan mengambil makanan tidak berkhasiat

Dalam mentafsir tahap pengetahuan murid, penskoran akan merujuk kepada tafsiran umum tentang setiap tahap penguasaan murid seperti di bawah :

Tafsiran Umum;

TAHAP PENGUASAAN
MAKSUD
TAKRIFAN UMUM
1
Tahu
Murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi respon terhadap perkara asas
2
Tahu dan Faham
Murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari
3
Tahu , Faham dan Boleh Buat
Murid menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi
4
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan beradab
Murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, iaitu mengikut prosedur atau secara sistematik
5
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
Murid melaksanakan sesuatu kemahiran pada situasi baharu, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal, dan bersikap positif
6
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baharu, sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif, serta boleh dicontohi
[ Sumber : Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas ( Bermasalah Pembelajaran) :Pendidikan Jasmani dan Kesihatan- Tahun 4 ]







KAEDAH PENSKORAN DAN PENGGREDAN


Rubrik Penskoran Sebagai Alat Untuk Menjamin Kualiti Ujian


Alat untuk memandu pentaksir membuat penilaian yang objektif terhadap pencapaian murid ialah rubrik penskoaran. Rubrik boleh digunakan semasa menjalankan aktiviti pementoran, pengesanan, penyelarasan dan pemantauan. Masa kini perkataan rubrik digunakan untuk kriteria bagi memandu seseorang pentaksir menilai seseorang hasil kerja murid tersebut. Rubrik mempunyai level of performance atau peringkat prestasi yang memberi maklumat kepada guru, murid, ibubapa dan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui prestasi murid. Rubrik sesuai digunakan untuk memeriksa hasil kerja murid bagi pentaksiran sumatif dan juga formatif. Ini ialah kerana rubrik menerangkan kriteria setiap peringkat, iaitu daripada kategori cemerlang sehinggalah kepada kategori sangat lemah. Di antara kekuatan rubrik ialah:

                                i.            murid akan mendapat pembelajaran yang bermakna
                              ii.            murid akan mempelajari sesuatu konstruk dengan mendalam
                            iii.            memberi autonomi kepada murid untuk bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dengan melakukan pentaksiran kendiri atau self- assessment.
                            iv.            murid, guru dan ibubapa tahu kriteria yang diharapkan untuk meningkatkan prestasi
                              v.            meningkatkan kebolehpercayaan skor yang diberikan oleh pentaksir

Kelima-lima elemen ini menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran dan pengajaran serta dalam masa yang sama meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan skor pentaksiran sekolah.



Peranan Rubrik Penskoran sebagai Alat Feedback atau Maklumbalas


      Jika pentaksiran adalah untuk memperbaiki prestasi murid , teknik pengukuran mesti digabungkan dengan memberi maklumbalas yang berkualiti kepada murid. Tugasan untuk pembelajaran dan pengajaran perlu disertakan dengan rubrik untuk memandu murid memperbaiki hasil kerja mereka. Ini adalah menepati objektif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mentransformasikan pentaksiran iaitu, bukan hanya untuk mengubah cara kita mentaksir murid tetapi memberi maklumat kepada murid membuat penyesuaian kendiri atau self-adjustment kepada kualiti produk atau proses kerja yang mereka laksanakan. Amalan ini dapat dilihat pada manual ’Do it Yourself’ yang disertakan pada perisian komputer. Rubrik juga boleh dijadikan seperti manual ‘Do it Yourself’ sebagai  panduan untuk murid memperbaiki kualiti kerja mereka di dalam pentaksiran sumatif. Panduan ini secara langsung memberikan autonomi kepada murid untuk memperbaiki prestasi mereka berdasarkan kriteria yang terdapat pada rubrik yang disertakan bersama tugasan yang diberi. Selain daripada memandu murid melaksanakan tugasan untuk pembelajaran dan pengajaran rubrik penskoran juga difahami oleh guru untuk membantu mereka semasa memeriksa hasil kerja murid.

Peranan Rubrik Penskoran sebagai Alat Penskoran Pentaksiran Sumatif


Antara kaedah untuk meningkatkan kebolehpercayaan skor ialah:
                                i.            mengaplikasi rubrik penskoran yang jelas (Linn and Gronlund 2000)
                              ii.            menggunakan proses penskoran yang sistematik (Airasian 1997; McMillan 2004)
                            iii.            mengadakan sesi moderasi pemeriksaan (Gronlund and Linn 1990)
                            iv.            melatih pemeriksa (American educational research Association 1990) dan
                              v.            menggunakan skrip contoh jawapan (Herman, Aschbacher and Winters 1993)

Rubrik penskoran merupakan salah satu kaedah  yang dicadangkan oleh pakar pentaksiran untuk meningkatkan kebolehpercayaan skor. Banyak kajian mendapati penggunaan rubrik boleh meningkatkan darjah kebolehpercayaan sesuatu ujian  ( Vacc1989, Baxter, Shavelson, , Goldman dan Pine 1992, Brown, Glaswell and Hartland 2004, Dunbar, Brooks and Kubicka-Miller 2006, Zainuriyah 2008) . Alat ini boleh digunakan semasa aktiviti penyelarasan pemarkahan. Rubrik boleh meningkatkan darjah kebolehpercayaan pemeriksa kerana semua pemeriksa tahu dan faham kriteria yang Cemerlang, Baik atau Lemah dan mengaplikasikannya semasa memeriksa  hasil kerja murid. Namum terdapat prosedur yang perlu diikuti oleh guru sebelum memeriksa hasil kerja murid seperti memahami kehendak tugasan, memahami kriteria untuk setiap kategori dan berbincang dengan guru lain untuk mendapatkan persefahaman.

Contoh-contoh Rubrik Penskoran


 Terdapat dua jenis rubrik iaitu;
                                i.            Rubrik holistik
                              ii.            Rubrik analitik

            Kedua-dua rubrik ini mempunyai fungsi yang berbeza. Rubrik holistik lebih sesuai digunakan oleh pentaksir untuk memeriksa hasil kerja murid bagi pentaksiran sumatif. Holistik bermakna keseluruhan atau secukupnya. Kaedah holistik juga dikenali sebagai pendekatan general impression atau whole impression berdasarkan perbandingan sesuatu sampel esei atau penulisan kepada kriteria yang telah ditetapkan. Pendekatan holistik menggunakan nilai absolute iaitu menggunakan skala yang kemudiannya diterjemahkan kepada Cemerlang, Baik, Sederhana , Lemah atau Sangat lemah. Penskoran secara holistik boleh mempercepatkan proses penskoran. Namun rubrik ini tidak dapat memberikan maklumat yang jelas dan terperinci bagi setiap penskoran oleh itu ia tidak sesuai untuk tujuan pentaksiran formatif.

            Rubrik analitik pula menyenaraikan kriteria secara terperinci. Rubrik ini lebih sesuai digunakan untuk pentaksiran formatif kerana ia memberi maklumat yang jelas dan terperinci terhadap setiap aspek yang ditaksir. Secara langsungnya rubrik ini dapat membantu guru dan murid mengenali kelemahan dan kekuatan bagi menguasai sesuatu konstruk atau standard kurikulum yang diharapkan.
                       

Rubrik Penskoran Yang  Dibina

                       
Rubrik Analitik untuk Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Taahun 4 ( Pendidikan Khas )

Tajuk   : Pemakanan

Tahap Penguasaan
Grafik Yang dihasilkan
Tafsiran
Rasional
4
Kesemua gambar makanan yang diberikan sangat bertepatan dengan tajuk folio
Boleh menyatakan perkaitan makan dengan pemilihan makanan dan dapat menjelaskan kepentingan makanan
Penjelasan yang diberikan mengenai perkaitan makan dan pemilihan makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat amat jelas
3
Sebahagian besar gambar makanan yang diberikan bertepatan dengan tajuk folio
Boleh membuat pilihan antara makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat
Penjelasan yang diberikan mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat masih perlu dibimbing
2
Beberapa gambar makanan yang diberikan mengikut dengan tajuk folio
Boleh menyatakan dua makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat
Penjelasan yang diberikan mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat tidak lengkap
1
Gambar makanan yang diberikan kurang mengikut tajuk folio
Boleh mengenal makanan yang berkhasiat dan tidak berkhasiat
Tiada penjelasan yang diberikan mengenai kepentingan makanan berkhasiat dan tidak berkhasiat

           



                       

KESIMPULAN


Penilaian Berasaskan Sekolah ( PBS ) memberikan autonomi kepada guru untuk membina, mentadbir dan memeriksa hasil kerja murid. Ini akan memberikan cabaran yang besar kepada guru untuk melaksanakan pembelajaran dan pengajaran . Dalam masa yang sama kualiti ujian seperti kesahan dan kebolehpercayaan perlu dijamin supaya masyarakat tidak mempersoalkan integriti guru dan kualiti ujian yang di tadbirkan di sekolah oleh guru. Namum ini tidak perlu menjadi halangan kepada guru untuk melaksanakan tugas mereka sebagai pentaksir pembelajaran dan pengajaran. Kaedah yang dicadangkan ialah dengan membina rubrik penskoran yang jelas dan sesuai untuk memandu guru memberikan skor yang tekal terhadap hasil kerja murid walau di mana guru berada dan siapa yang mereka taksir. Ini ialah kerana rubrik boleh mengurangkan ralat skor dengan menyediakan kriteria yang lebih objektif untuk memeriksa hasil kerja murid yang subjektif supaya pembelajaran dan pengajaran terjamin kualitinya.

RUJUKAN


Ali, Z. (2008). Perlaksanaan Pentaksiran Kerja Kursus Kemahiran Hidup Bersepadu Di
Sekolah Menengah Luar Bandar Daerah Kuantan, Pahang. Universiti Teknologi
Malaysia, Skudai.
American Educational Research Association. 1990. Standards for Educational and Psychological Testing. Washington D.C.
Aurbach, & Associates, I. (2011). About Alternative Assessment, from. http//www.aurbach.com/alt_assess.html
Baxter,G.P., Shavelson, R.J., Goldman,S.R. and Pine, J. 1992. Evaluation of procedure –based scoring for hands-on science assessment. Journal of educational Measurement 29(1):1-17.
Brown, G., Glaswell,K. and Hartland, D. 2004. Accuracy in the scoring of writing :studies of reliability and validity using New Zealand writing assessment system. Auckland Uniservices Limited : University of Auckland.
Companies, M. H (2011). Alternative Assessment Primer, fromhttp//teachingtoday.glencoe.com/howtoarticles/alternative-assessment-primer.
Dikli, S. (2003). Assessment at a Distance :Traditional vs Alternative Assessment.The Turkish Online Journal of Education Technology-TOJET,2 (3)
Dunbar,N.E., Brooks,C.F. and Kubicka-Miller, T.2006. Oral communication skills in higher education: Using a performance-based evaluation rubric to assess communication skills. Innovative Higher Education.32(2): 115-128.
Ghafar, M. A. (2011).Pembinaan & Analisis Ujian Bilik Darjah ( 2nd ed. Vol.371.26 );Penerbit UTM Press.
Herman,J.L.,  Aschbacher,P.R. and Winters, L. 1993. A Practical Guide to Alternative Assessment. University Of California
Kementerian Pendidikan Malaysia (2014) Dokumen Standard Kandungan Prestasi Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Tahun Empat
Khan, A.(2009). Tidak Lagi Bergantung 100% Kepada Peperiksaan - TPM. Retrieved from..http://sppkkedah.blogspot.com/2009/10/tidak-bergantung-100-kepada peperiksaan.html.
Linn, R, L.  and Gronlund, N.E. 2000. Measurement and Assessment In Teaching. New Jersey: Prentice Hall.
Logsdon, A.(2011). Alternative Assessment-What Is an Alternative Assessment ?, fromhttp://learningdisabilities.about.com/od/learning_disability_term_A/g/alternative_assesment.htm.
Saptu, M., & Said, H. (2011). Pentaksiran Alternatif dalam Memperkayakan Pengetahuan dan Meningkatkan Pembelajaran.
Shavelson, R.J., Baxter, G.P., and Shavelson, R.J. 1993. On the stability of performance assessments. Journal of Educational Measurement,30,41-53.
Vacc,N.N. 1989. Writing evaluation: examining four teachers holistic and analytic score. The Elementary School Journal.90:87-95.
Wahid, A. H., & Jahya, Z. (2009). Pendidikan Pembangunan Modal Insan (Vol.
370.9595). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Zainuriyah Abdul Khatab. 2008. Reconceptualisation of the concept ‘Ability to conduct a research’ and developing an alternative assessment for geography. Tesis Doktor Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment