Friday 5 December 2014

Tugasan 3 Kumpulan 11

PENTAKSIRAN AUTENTIK

KPN 6074


TUGASAN KUMPULAN


TAJUK:

REKA BENTUK
DAN
PEMBINAAN PENTAKSIRAN AUTENTIK


TOPIK:

(PENDIDIKAN SENI)



PENSYARAH :

PROF EMERITUS DR. OTHMAN BIN LEBAR


DISEDIAKAN OLEH,


ROBERT SAM A/L KRISHNAN
M20131001006
SHAHIDA BINTI JALALUDIN
M20131001149
NG SIOW HWE
M20131001145
NOOR SHIDA BINTI MEOR ZAIMI
M20131000999


Mata Pelajaran            : Pendidikan Seni
Topik                          : Kraftangan
Sub topik                     : Anyaman ( Bakul Kertas)

1.0       Pengenalan

Sistem pendidikan di Malaysia yang berorientasikan peperiksaan kini diubah secara berperingkat  menjelang tahun 2011. Dengan ini, satu sistem pentaksiran baru diperkenalkan yakni berbentuk holistik agar dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Negara yang memerlukan insan mulia sebagai peneraju generasi akan datang. Kini, ramai di kalangan ibu bapa berpendapat bahawa peperiksaan atau ujian bertulis tidak sesuai lagi digunakan dalam sistem pendidikan kita. Pentaksiran autentik merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada ketidakadilan ini. Ini adalah kerana sifat pentaksiran autentik yang menyeluruh boleh diguna pakai dalam mentafsir setiap perkembangan kanak-kanak melalui instrumen yang pelbagai. Pentaksiran autentik menurut Pert (1990) merupakan bentuk penilaian yang berdasarkan pencapaian sebenar yang ditunjukkan oleh kanak-kanak di dalam bilik darjah setiap hari.
Melalui pentaksiran autentik ini, ia dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka melalui cara yang berkaitan dengan kehidupan mereka dan tidak tertakluk kepada kemahiran dan pengetahuan di sekolah sahaja. Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan untuk menjalankan pentaksiran autentik ini contohnya melalui portfolio, pemerhatian, rekod anekdot dan pelbagai lagi. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, pentaksiran autentik ini merupakan alternatif dalam proses pentaksiran. Di mana ia menggunakan spektrum yang lebih luas untuk melihat perkembangan murid dengan lebih menyeluruh dan bukan hanya tertakluk kepada ujian semata-mata. Spektrum yang luas ini merangkumi situasi pembelajaran yang sebenar meliputi kehidupan seharian murid dan bermakna.

2.0       Hasil Pembelajaran: Di akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat: 

1.      Kemahiran Motor Halus – Menggulung kertas suratkhabar mengikut diameter yang ditetapkan (9mm).
2.      Kemahiran Motor Kasar – Menyusun bakul di atas rak.
3.      Murid boleh membuat tapak bakul (15cm)
4.      Murid boleh menyilang gulungan kertas mengikut kreativiti setinggi 20cm.
5.      Murid boleh membuat kemasan pada bakul.


3.0       Strategi Pengajaran dan Pembelajaran:  

Strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada kemahiran dan kecekapan merancang serta menguruskan kaedah dan teknik mengajar untuk mencapai objektif pelajaran secara optimum. Di dalam bidang pendidikan, konsep strategi merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu-satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan. Dengan perkataan lain, strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada penentuan dan perancangan kaedah dan teknik mengajar untuk mencapai objektif jangka panjang sesuatu pendekatan. Shmeck (1998)  menyatakan strategi ialah prosedur-prosedur untuk melaksanakan rancangan dalam sesuatu operasi atau dalam usaha mencapai sesuatu tujuan. Zarina (2002) pula berpendapat bahawa strategi pembelajaran ialah langkah-langkah yang diambil oleh murid untuk mempercepatkan proses pemerolehan, penyimpanan, mengingat kembali dan penggunaan maklumat. Di dalam bidang pendidikan, terdapat banyak kaedah dan teknik mengajar yang disarankan oleh pakar-pakar pendidikan.

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam mengajar topik kraftangan iaitu menghasilkan bakul daripada bahan buangan bagi mata pelajaran pendidikan seni ialah kaedah berasaskan projek. Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara projek merupakan suatu kaedah yang difikirkan amat sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid masa kini. Bagaimanapun sesuatu projek memerlukan perancangan terperinci serta kaedah pelaksanaan yang sistematik di samping keperluan sumber serta kepakaran yang sesuai.

Menurut Poh (2003), projek ditakrifkan sebagai tugas, pembinaan atau siasatan yang teratur yang akan menjurus kepada matlamat yang spesifik. Ianya boleh dilaksanakan untuk menggalakkan murid menggunakan kemahiran psikomotor. Selain itu, projek juga boleh dibuat berdasarkan kreativiti dan mengikut minat murid. Pengajaran dan pembelajaran berasaskan projek boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan di bawah bimbingan guru seperti mendapatkan idea dan maklumat secara terperinci. Kementerian pelajaran Malaysia melalui “Handbook, project Based Learning” menekankan kaedah ini sebagai strategi pembelajaran yang membawa murid mempelopori ilmu keluar daripada tradisi bilik darjah lama yang memfokuskan guru sebagai pemberi ilmu. Kaedah melibatkan penerokaan ilmu melalui pemerhatian serta kajian lapangan atau dunia sebenar.
Kaedah projek merupakan kaedah yang telah diubahsuai daripada kaedah menyelesaikan masalah. Melalui kaedah ini murid akan berpeluang merasai sendiri pengalaman pembelajaran dengan melakukan sendiri aktiviti-aktiviti pembelajaran. Kaedah ini berkait rapat dengan kaedah lain seperti kaedah permainan, kerja praktikal, penyelesaian masalah dan luar kelas. Melalui kaedah ini, guru berupaya menimbulkan minat dalam kalangan murid bagi melaksanakan sendiri beberapa aktiviti dalam bentuk dan situasi yang sebenar. Kaedah ini boleh dilakukan, sama ada secara berseorangan ataupun berkumpulan. Tujuan kaedah ini adalah untuk meningkatkan penglibatan murid dengan idea-idea konseptual dan mengembangkan kemahiran-kemahiran yang tidak mungkin dicapai melalui kaedah-kaedah pengajaran yang lain. Dalam kaedah ini, peranan utama guru adalah menyediakan tajuk-tajuk projek dan memberi peluang kepada murid memilih tajuk- tajuk yang mereka gemari, menyediakan garis panduan secara bertulis serta menerangkan cara mematuhi garis panduan berkenaan sepanjang projek dijalankan di samping bertindak sebagai  pembimbing.
Secara umumnya, projek merujuk kepada kajian dan aktiviti yang disepadukan bagi menghasilkan satu susunan bahan yang berkaitan satu tema mengikut minat dan kecenderungan orang yang menjalankan projek itu. Sesuatu projek mungkin berjalan selama tempoh masa yang lama seperti beberapa bulan atau beberapa minggu atau beberapa hari sahaja, bergantung kepada minat, kecenderungan, kemampuan dan kematangan peserta projek itu. Projek akhirnya akan dipamerkan dan berkongsi idea kepada murid lain, seperti pameran seni peringkat sekolah. Strategi berasaskan projek membolehkan murid menjalankan aktiviti mengikut minat dan kecenderungannya sendiri. Kaedah ini juga dapat memberi kualiti pemerolehan ilmu yang tinggi bagi murid melalui penglibatan aktif murid. Selain itu ia memberi bimbingan kepada murid untuk meningkatkan kemahiran berfikir dan keupayaan berdikari dalam melaksanakan kajian tentang sesuatu perkara.


 4.0       Strategi Pentaksiran: 

Strategi yang boleh digunakan oleh guru dalam melaksanakan pembelajaran berasaskan projek adalah seperti gambar rajah di bawah.




 Rajah 1: Strategi Perlaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek

Sesebuah projek boleh dilaksanakan secara perseorangan atau secara berkumpulan. Sebelum guru menjalankan aktiviti ini, guru perlu memastikan bahawa langkah-langkah berikut diberi perhatian agar kaedah projek dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan agar mencapai hasil pembelajaran yang memuaskan. Perkara yang perlu diberikan tumpuan adalah seperti berikut:

  1. Guru perlu menentukan objektif dan aktiviti berdasarkan kecenderungan dan kemahiran murid-murid dalam kelas yang di ajar.
  2. Sesuatu projek perlu mempunyai objektif-objektif tertentu. Dengan adanya objektif-objektif ini guru dan murid akan mempunyai hala tuju yang betul dan dapat menilai pencapaian mereka.
  3. Murid perlu mempunyai rancangan yang baik dan lengkap seperti membahagikan kerja untuk setiap kumpulan demi menjamin kelicinan pelaksananya.
  4. Guru perlu menentukan cara mempamerkan hasil-hasil kerja murid, cara menyimpannya dan penggunaannya sebagai model pada masa akan datang.


5.0       Reka Bentuk Pentaksiran

Projek penghasilan bakul ini dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Projek ini dilaksanakan selepas murid mengenali bahan-bahan, alatan yang akan digunakan serta rekabentuk bakul. Setelah murid diajar mengikut hasil pembelajaran, guru akan menguji kefahaman mereka terhadap apa yang mereka pelajari di dalam kelas melalui penghasilan bakul daripada bahan terbuang.  Projek ini akan mengambil masa selama 5 minggu setelah topik tersebut diajar oleh guru. Untuk tujuan pentaksiran ini, murid yang terlibat adalah dari kelas tahun 6. Murid akan diagihkan dalam kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan akan melaksanakan kerja mereka dengan kerjasama antara satu sama lain dan dengan bimbingan daripada guru.  Di dalam aktiviti ini, murid diberi tugasan untuk mengumpul maklumat yang lebih terperinci dengan melayari internet di makmal sekolah.

Ciri-ciri reka bentuk pentaksiran pembelajaran berasaskan projek merangkumi:
  1. Kaedah ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan.
  2. Penilaiannya dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah ke tahap hasil yang siap.
  3. Interaksi guru dengan murid adalah berbentuk bimbingan dan perundingan pada setiap tahap  proses (guru sebagai fasilitator)
  4. Guru perlu menjelaskan prosedur pelaksanaan yang lengkap.
  5. Proses ini melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan pelaporan hasil serta refleksi kendiri.
  6. Kaedah pembelajaran ini berasaskan kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid.
  7. Berorientasikan dunia sebenar.
  
Langkahlangkah pentaksiran 
1)      Guru akan menerangkan apa yang perlu dihasilkan dalam projek.
2)      Murid ditunjuk bahan-bahan dan alatan yang diperlukan serta cara untuk membuat bakul secara asasnya.
3)      Guru akan menetapkan spesifikasi ukuran untuk menghasilkan bakul tersebut.
4)      Guru akan menunjukkan contoh bakul yang terbaik daripada koleksi guru.
5)      Murid kemudian boleh membuat bakul mengikut langkah-langkah yang ditetapkan oleh guru  mengikut kreativiti masing-masing.
6)      Guru akan meminta murid untuk mempamerkan portfolio mereka kepada rakan-rakan.
7)      Murid akan membentang hasil kerja mereka.
8)      Guru akan membuat penilaian mengikut spesifikasi dan kekemasan bakul yang dihasikan.
9)      Guru dan murid akan berbincang untuk menentukan penghasilan bakul yang terbaik berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Nilai Murni/Kemahiran
ü  Kerajinan - Berusaha bersungguh-sungguh dengan inisatif, kreatif dan enovatif untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti..
ü  Yakin kepada diri sendiri percaya kepadakebolehan diri dan sanggup mencuba. 


6.0       Kaedah Penskoran dan Penggredan
Kaedah penskoran dan penggredan yang digunakan dalam pentaksiran pembelajaran berasaskan projek ialah kaedah penskoran rubrik. Rubrik ialah alat penskoran yang secara terang menunjukkan prestasi yang diharapkan untuk sesuatu tugasan atau sesuatu kerja. Rubrik ialah alat penskoran yang mengandungi set kriteria dan standard iaitu, merujuk kepada objektif pembelajaran. Rubrik ialah set kategori bagi suatu hasil kerja dapat dilihat dengan kualiti atau proses dapat ditunjukkan supaya prestasinya dapat ditaksir. Kaedah ini menjadi satu  panduan pemarkahan untuk  menilai  respons yang  dibina oleh murid terhadap  tugasan yang telah diberikan.
Rubrik merupakan satu bentuk skema penskoran yang ditetapkan mengikut kriteria seperti daripada lemah ke cemerlang. Kriteria ini digunakan untuk membuat ranking atau pemeringkatan terhadap pencapaian murid. Rubrik terdiri daripada rubrik holistik iaitu mengandungi kriteria dan kualiti untuk menilai keseluruhan hasil kerja murid dan rubrik  analitik yang terdiri daripada penerangan terperinci berserta agihan markah bagi setiap komponen untuk menilai hasil kerja murid. Dalam kaedah penskoran dan penggredan untuk projek ini guru akan memilih rubrik analitik untuk menjalankan penilaian.

6.1 Kaedah Penskoran Rubrik Analitik


KRITERIA
Level
1
2
3
Menggulung kertas dengan menggunakan lidi
Hanya dapat menggulung kertas tanpa lidi.
Boleh menggulung dengan lidi tetapi tidak menepati diameter 9mm.
Boleh menggulung dengan lidi mengikut diameter 9mm.
Membuat tapak bakul
Membuat tapak bakul dengan bimbingan sepenuhnya.
Membuat tapak bakul dengan separa bimbingan.
Membuat tapak bakul tanpa bimbingan.
Melilit gulungan kertas setinggi 20cm
Masih mempunyai ruang antara lilitan kertas pada anyaman.
Lilitan kertas pada anyaman rapat tetapi tidak kemas.
Lilitan kertas pada anyaman rapat dan kemas.
Menyapu syelek pada bakul kertas
Tidak dapat menyapu syelek pada keseluruhan bakul.
Dapat menyapu syelek pada keseluruhan bakul tetapi tidak rata.
Dapat menyapu syelek pada keseluruhan bakul dan kemas.


Kekuatan Pentaksiran

1.      Pelajar membina sendiri pengetahuan mereka bentuk bakul mengikut kreativiti masing-masing
2.      Pelajar boleh mendapatkan maklumat daripada laman web untuk menyiapkan projek
3.      Pelajar dapat meningkatkan kemahiran berfikir dengan mencari idea bagi menghasilkan bakul kertas yang menarik
4.      Pelajar menggunakan kreativiti dalam menghasilkan barangan kitar semula
5.      Pelajar dapat mengawal emosi semasa menganyam bakul kertas kerana aktiviti ini memerlukan kesabaran dan ketekunan
6.      Pelajar dapat meningkatkan kemahiran motor halus kerana mereka terdiri daripada kanak-kanak istimewa



7.0 Rubrik Penskoran Tugasan Projek



NILAI SKOR DAN KRITERIA HOLISTIK

TAHAP PENCAPAIAN
PENERANGAN
A  (Cemerlang)
80-100
markah
·         Murid boleh menyediakan bahan-bahan untuk menghasilkan bakul dan menyiapkan bakul dengan kemas
·         Murid berjaya menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
·         Menguasai langkah-langkah penghasilan bakul kertas beserta kemasan
B (Kepujian)
60-79
markah
·         Menyediakan bahan yang dikehendaki dan boleh menyiapkan tugasan dengan bantuan guru.
·         Menguasai kesemua disiplin ilmu Pendidikan Seni yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni dengan baik.
C (Baik)
0-59
markah
·         Menyediakan sebahagian bahan yang dikehendaki dan boleh menyiapkan sebahagian tugasan dengan bantuan guru.
·         Menguasai disiplin ilmu yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni dengan memuaskan.
D (Memuaskan)
20-39
markah
·         Menyediakan bahan yang dikehendaki namun tidak memenuhi kehendak tugasan.
·         Lemah dalam menguasai disiplin ilmu yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni.
E  (Tahap Minimum)
0-19
markah
·         Tidak dapat menyediakan bahan dan gagal memenuhi kehendak tugasan yang dikehendaki.
·         Tidak dapat menguasai kesemua disiplin ilmu dalam mata pelajaran Pendidikan Seni.


8.0       Kesimpulan 
Mata Pelajaran Pendidikan Seni bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembangkan  keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.  Umumnya, murid di sekolah rendah pada keseluruhan adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Seni Visual memainkan peranan memperkembangkan sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi, dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan, dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni  visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana dapat membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian, dan mengenali cita rasanya tersendiri.melahirkan murid yang berpengetahuan tentang peranan mereka dalam masyarakat dan persekitarannya.   
            Dengan menggunakan kaedah projek dalam pengajaran dan pembelajaran  ia dapat menarik minat murid, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu murid supaya mencapai objektif pengajaran pembelajaran. Pemilihan kaedah mengajar perlulah berdasarkan kepada umur, kecerdasan, kebolehan dan minat murid. Strategi bemaksud kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara. Ianya merujuk kepada kebijaksanaan guru memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah, teknik dalam satu-satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang ditentukan. 
Dengan  perlaksanaan kaedah  pentaksiran  autentik  dalam  mata pelajaran ini, ia dapat membantu guru dalam memperbaiki penyediaan guru dalam proses pembelajaran dan perkembangan murid-murid. Pentaksiran autentik merupakan pentaksiran yang menyeluruh serta boleh diguna pakai dalam menaksir setiap perkembangan murid-murid melalui instrumen yang pelbagai. Pentaksiran autentik ini seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh meliputi peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi.

  
Rujukan: 
Mok, Soon Sang (1996). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman  Ee Ah Meng (2000), Pendidikan diMalaysia, Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah(edisi kedua), Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Hal 263.

Sulaiman Ngah Razali (2001). Pedagogi Teori dan Praktikal. Dewan Bahasa dan Pustaka Abd. Ghafar

Md. Din(2003), Prinsip dan Amalan Pengajaran,Selangor, Utusan Publication & Distrib.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Shahabuddin Hashim, Dr Rohizani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad (2003), Pedagogi Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. PTS Publication.

Mok Soon Sang (2008), Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor : Penerbitan Multimedia

http://allfilesforu.blogspot.com/2013/03/penilaian-rubrik.html

http://izzahgummy.blogspot.com/2010/11/pengajaran-berasaskan-projek.html

http://chegutobe.blogspot.com/2011/09/project-based-learningpembelajaran.html



No comments:

Post a Comment